Wednesday, October 9, 2013
Angin
petang bertiup lembut memukul tubuh tua yang bersantaian di beranda rumah
separuh kayu. Hajah Aminah mengintai ke luar sebelum menatang dulang berisi
seteko kopi dan dua cawan kosong serta sepiring kuih goreng pisang ke sana.
Kopi dihidangkan di atas meja di depan suaminya yang sedang leka membaca surat
khabar.
Imam
Rahman menjeling sekilas sebelum melipat akhbar dan diletakkan di atas meja
yang sama. Suara keriangan kanak-kanak yang bermain di bawah rumah mematikan
kesunyian petang itu.
“Hm...kenapa
saya tengok muka awak semacam saja? Ada masalah?” soalnya sebelum menghirup air
kopi.
Hajah
Aminah tidak lekas menjawab. Keluhan nafas perlahan dihembus. Seolah melepaskan
segumpal bebanan yang menyesakkan dada. Seraut wajah manis anak tunggal mereka,
Hazlia, menari-nari di tubir mata.
“Saya
bimbanglah, Bang Aji,” getusnya. Imam Rahman mengangkat kening.
“Bimbang
pasal apa?”
“Pasal
Hazlia.”
“Hm...kenapa
dengan dia? Tak sihat? Pagi tadi saya tengok elok saja.”
“Saya
bimbanglah...risau pasal anak kita tu. Umurnya sudah masuk 25 tahun tapi tak
kahwin lagi. Nanti orang kampung cakap anak kita tak laku!” beritahu Hajah
Aminah. Fikirannya terganggu dengan masalah tersebut.
“Awak
ni bimbang...risau pasal anak kita yang tak kahwin lagi atau pasal cakap-cakap
orang?”
“Eh,
mestilah pasal anak kita. Abang Aji tak risaukah?”
“Risau
juga tapi nak buat macam mana...dah tuan badan tak hendak. Takkan kita nak
memaksa pula kan...”
Hajah
Aminah menjeling. Betul juga kata suaminya.
Hajah Aminah mendengus perlahan.
Pening dengan karenah anak tunggalnya. Benarlah kata pepatah, menjaga lembu
sekandang lebih mudah daripada menjaga anak dara nan seorang. Bukan tidak ada
pinangan dan risikan datang menjengah untuk Hazlia. Ada...tetapi semua ditolak
Hazlia dengan pelbagai alasan. Bukan jodohlah, tidak sekufulah, orang jauhlah
dan macam-macam alasan lagi. Mereka yang datang itu bukan orang-orang biasa.
Berpangkat tinggi dan berilmu. Bila diberitahu tentang latar belakang si lelaki
dengan selamba Hazlia akan berkata,
“Itu
bukan nak merisik tapi nak menunjuk-nunjuk hartanya.” Atau pun,
“Berilmu
jika tidak dimanfaatkan ilmunya sama juga dengan orang yang tidak berilmu.”
Gadis
manis lulusan Mesir itu bijak menangkis hujah. Memperdebat isu yang
dibangkitkan. Akhirnya kedua orang tuanya akur. Hazlia mempunyai pilihan yang
lain. Pemuda yang bagaimana rahsia masih disimpan kemas oleh Hazlia.
“Saya
berkenanlah pada anak bujang Hajah Rosnah tu. Baik budi pekertinya. Kerja pun
boleh tahan, gaji besar...dari universiti juga. Padan dengan anak kita,” ujar
Hajah Aminah setelah diam seketika. Senyuman lebar terukir di bibir. Angannya
hendak berbesan dengan keluarga terhormat agar dipandang tinggi oleh masyarakat
setempat.
“Duit
bukan segalanya walaupun segalanya perlukan duit. Bukan dibawa ke kubur harta
tu semua. Ilmu kalau tidak diamalkan pun serupa juga dengan tak berilmu.
Jadilah ia ilmu tak bermanfaat!” tegas Imam Rahman memperbetulkan tanggapan
isterinya.
Kemudian dia menyambung lagi. “Saya tidak pernah pun nampak
anak-anak lelaki Hajah Rosnah di masjid untuk sembahyang jemaah. Kenapa budi
pekertinya ditunjuk depan manusia tetapi tidak di depan Allah?” soal Imam
Rahman. Hajah Aminah terkedu menelan liur. Malu apabila ditegur oleh suaminya.
“Habis
tu abang aji nak bermenantukan budak macam anak Maimunah tu...Kamal? Sekolah
setakat SPM, kontraktor biasa...gaji rendah pula tu,” ejek Hajah Aminah dengan
cebikan.
“Sekurang-kurangnya
setiap kali jemaah subuh, maghrib dan isyak di masjid saya jumpa Kamal bukan
bakal menantu pilihan awak. Solat lima waktu pun tak pernah nampak apalagi
solat jumaat. Hm...payah.” Giliran Imam Rahman yang mengejek dan ia kena tepat
ke wajah isterinya.
Merah padam muka Hajah Aminah mendengar kata-kata suaminya.
Imam Rahman betul. Harta segunung tidak dipandang oleh Allah SWT kerana Dialah
yang Maha Kaya, pemilik seluruh isi langit dan bumi. Sijil bergulung-gulung
juga bukan ukuran-Nya kerana Dia Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui. Hanya
amal ibadah yang ikhlas dituntut. Sesungguhnya solat, ibadah, hidup dan mati
hanya kerana Allah Taala. Hajah Aminah insaf.
Labels: cerpen
0 Comments:
Subscribe to:
Post Comments (Atom)