Saturday, September 21, 2013
Kamal
berusaha menghidupkan enjin motorsikal kapcainya. Berkali dicuba namun gagal.
Peluh dingin sudah memercik di dahi dan belakang tubuhnya. Lencun baju kerja
yang dipakai. Sekejap-sekejap dilirik sekilas jam yang tersarung di pergelangan
tangan.
Lima bela minit lagi jika enjin motorsikal tidak mahu hidup dia pasti
terlambat sampai ke tempat kerja. Kamal mengeluh perlahan. Putus asa setelah
berusaha selama hampir setengah jam di situ.
“Sudahlah tu, Mal. Motor buruk kamu tu dah tak
mahu hidup!” laung Mak Munah, ibu Kamal, dari dalam rumah teres dua tingkat
yang didiami mereka.
Tidak lama kemudian kalibatnya muncul di depan pintu
bersama gelengan melihat kelakuan anak bujangnya. Dari tadi didengar Kamal
mencuba untuk menghidupkan motor kapcai itu. Mak Munah pula yang geram
dibuatnya.
Kamal
terduduk di tepi motorsikalnya sambil mendengus. Bukan marah dengan kata-kata
ibunya tetapi geram dan sakit hati kerana usahanya menemui kegagalan.
Terpaksalah dia keluar berjalan kaki ke simpang jalan untuk mendapatkan bas
mini.
“Mal
pergi dululah, mak. Dah lambat ni...,” beritahu Kamal perlahan.
Tangan ibunya
disalam dan dikucup sebelum melangkah keluar. Sempat juga Kamal mengelap peluh
yang memercik di wajah dengan belakang tangannya. Mak Munah hanya mengangguk.
Dihantar Kamal dengan pandangan mata kosong. Simpatinya menjalar.
Sebuah
kereta MyVi putih berhenti di depan Kamal sebelum sempat pemuda itu menahan
mana-mana bas mini. Keningnya berkerut cuba mengingati senarai kenalannya yang
mempunyai kereta jenis sama. Kepala ditundukkan mengintai di sebalik cermin
yang baru diturunkan.
Imam
Rahman melafaz salam sambil tersenyum lalu dijawab oleh Kamal juga dengan
iringan senyuman. Dijeling sekilas si pemandu yang diam tidak terkutik. Hazlia,
gadis manis bertudung labuh yang jarang melempar senyuman kepada sebarang
pemuda. Kecantikan yang dimiliki sering menjadi bualan. Ditambah lagi gadis itu
lulusan Mesir. Kata orang sudahlah cantik pandai pula. Kamal telan liur. Si
bidadari yang menjadi idaman.
“Kamal,
marilah naik. Kamu nak ke tempat kerja, kan? Kebetulan pak cik dan Lia lalu
jalan yang sama,” teguran Imam Rahman mematikan lamunan Kamal. Lantas dia
tersenyum. Menyembunyikan rasa malu yang bertakung. Kamal menggaru kepalanya
yang tiba-tiba terasa gatal.
“Er...tak
apalah, pak cik. Saya tunggu bas,” perlahan Kamal menolak. Sebenarnya dia malu
hendak duduk di dalam kereta tersebut kerana kehadiran Hazlia.
“Naiklah...boleh
kamu jimat duit tambang,” pujuk Imam Rahman lagi. Kamal jadi serba salah. Jika
terus menolak bimbang Imam Rahman dan anaknya fikir bukan-bukan pula. Akhirnya
Kamal mengangguk perlahan.
Di
dalam perut kereta Kamal mengunci bicara. Hanya apabila Imam Rahman memulakan
perbualan baru Kamal bersuara. Perasaan malunya menebal setebal salju di Kutub
Utara. Ekor matanya sesekali melirik anak gadis Imam Rahman.
“Mak
kamu sihat? Minggu lepas tak ada pun pak cik tengok dia ke surau,” getus Imam
Rahman. Kegugupan Kamal cuba disingkirkan.
“Alhamdulillah,
pak cik. Mak sihat. Minggu lepas mak ke rumah Kak Long di Taman Indah,” jawab
Kamal sopan.
“Kenapa
dengan kakak kamu? Sakit?”
“Eh,
tak adalah. Kak Long sihat. Mak saja...nak bertukar angin katanya,” tutur
Kamal. Sangkaan Imam Rahman dibetulkan. Terbayang di tubir mata wajah kakak
sulungnya yang manis tersenyum sambil menggendong anak bongsunya yang baru
lahir.
Kamal
mencuri pandang ke arah Hazlia yang masih tetap membisu. Dadanya berdebaran.
Melihat gadis itu menerbitkan semacam satu perasaan aneh di jiwanya. Kamal
telan liur. Beristighfar panjang dalam hati sebelum cepat-cepat mengalihkan
pandangan. Sesungguhnya pandangan seperti itu boleh menimbulkan fitnah. Kamal
mengucap panjang. Kesal dengan kekhilafan diri.
Kereta
diberhentikan di hadapan pintu pagar SESB daerah Sandakan. Kamal mengucapkan
terima kasih dan bersalaman dengan Imam Rahman sebelum melangkah masuk ke
kawasannya bekerja.
Labels: cerpen
0 Comments:
Subscribe to:
Post Comments (Atom)