Monday, November 4, 2013

Duhai Bidadari ~ Part 3


Runsing dia memikirkan tentang permintaan Imam Rahman tadi. Duduk dan berdirinya menjadi serba tidak kena. Mak Munah sempat melirik kelakuan anak bujangnya. Pandangan Kamal ke arah skrin tv tetapi Mak Munah tahu fikiran Kamal tidak di situ. Ada sesuatu yang meresahkan Kamal.

“Kamu ada masalahkah, Mal?” tanya Mak Munah. Kamal yang ditegur secara tiba-tiba tersentak. Bahunya tersentak sedikit. Dikalih pandangan ke arah ibunya sebelum menggeleng laju.

“Tak ada, mak. Mal okay...”

“Kalau tak ada masalah, mengapa dari tadi mak tengok Mal termenung aje? Kalau ada masalah cerita pada mak. Mana tahu mak boleh tolong,” ujar Mak Munah dengan serius.

“Tak ada, mak. Betul...tak ada. Er...Mal masuk bilik dululah mak ya,” balas Kamal sambil tersenyum. Lantas tanpa menunggu respons lanjut daripada Mak Munah dia terus berlalu naik ke bilik di tingkat atas.

Pintu bilik dikunci. Tubuhnya yang masih bersarung baju melayu dihempas ke katil. Sejenak diimbas kembali peristiwa semasa di masjid tadi.

“Pak cik yakin pada kamu, Kamal.”

“Yakin saja tak cukup pak cik. Ini soal masa depan anak pak cik. Pak cik tak risaukah? Saya ni mana layak untuk anak pak cik. Macam bumi dengan langit.” Kamal beria-ia menolak dengan hujah-hujahnya. 

Kamal sedar siapa dirinya dan apa latar belakangnya. Mana mungkin pemuda seperti dia digandingkan dengan anak Imam Rahman, Hazlia. Gadis itu secantik bidadari sedangkan dia...Kamal telan liur.

Imam Rahman menepuk belakang Kamal dengan lembut. Bagai sudah dijangka pasti itu yang terkeluar dari mulut pemuda yang sentiasa merendah diri ini. Adab dan perilaku Kamal berjaya menambat hati tuanya. Walau Kamal tidak cemerlang dalam pendidikan namun dia cemerlang dalam mengamalkan ilmunya. 

Lihat saja berapa ramai umat Islam di luar sana yang tahu tentang kewajipan solat tetapi tetap saja mahu meninggalkan solat dan meringan-ringankannya. Padahal solat itu tiang agama. Jika tidak ditegakkan rosaklah iman yang senipis bawang itu.

“Itu bukan ukuran kebahagiaan. Datanglah ke rumah dengan mak kamu...kita bincang-bincang...hm?” Maksud Imam Rahman adalah agar Kamal datang membawa rombongan merisik Hazlia. Kamal diam. Termenung sejenak memikirkan tawaran Imam Rahman.

“Bagaimana dengan Hazlia? Mesti dia tak setuju,” duga Kamal. Dia yakin gadis secantik Hazlia pasti sudah mempunyai pilihan sendiri. Pemuda yang berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengannya. Imam Rahman yang masih kelihatan tenang melebarkan senyuman.

“InsyaAllah...kamu datang saja ke rumah!” pendek arahan Imam Rahman tetapi mampu menggetarkan jiwa Kamal.

Kamal membetulkan baringnya. Akalnya mula merancang esuatu. Pagi esok akan dinyatakan perkara tersebut kepada ibunya. Segala keputusan akan diambil setelah bermusyawarah dengan ahli keluarganya. Kamal tersenyum. Kelopak mata dipejamkan dan dia mulai hanyut ke alam mimpi.

 

Saat bulan & bintang tersenyum Copyright © 2010 Designed by RindaAuthor MissDielaSunan :)