Monday, May 7, 2012
Aduh, ini yang aku tidak suka. Duduk dalam keadaan perasaan yang bercampur aduk. Banyak soalan yang ingin diajukan tetapi lidah kelu tanpa kata dan kesepian menjadi peneman setia.
Rupanya si Rambut Tercacak atau MrLeft meminta Risyam menyamar untuk berjumpa dengan aku. Malangnya Risyam bertemu KC dan si Rambut Tercacak pula terserempak dengan aku dalam keadaan yang memalukan.
“Er…saya nak minta maaf…” pantas aku memandang tajam.
Maaf? Senangnya untuk dia melafazkan. Selama ini dia mengenali aku. Mengetahui segalanya berkenaan aku dan meninggalkan aku sendiri dalam kegelapan.
“Untuk apa?” aku menyoal semula. Tentunya dalam nada yang marah.
“Sebab tak beritahu perkara sebenar…” mendengar jawapannya aku mendengus kasar.
“Kan bagus kalau awak tak beritahu sampai bila-bila!” aku membentak. Tanpa menunggu lama aku pantas berdiri dengan niat mahu meninggalkan dia sendiri.
“Tapi saya sukakan awak, Hanis!” akuinya. Masa yang salah untuk satu pengakuan yang berani. Aku meninggalkannya tanpa sebarang kata.
Aku perlu menenangkan diri. Otak yang serabut menyukarkan fikiran. Penipuan seumpama ini tidak boleh diakhiri hanya dengan sebaris ungkapan kata maaf. Sekiranya polis menerima ungkapan tersebut jadi tiadalah manusia yang meringkuk di dalam penjara!
Wah, garang bunyinya tetapi itulah Hanis Damia. Hati keras umpama batu, bukan aku yang kata tapi KC dan Cidot.
Semenjak hari itu keduanya berpaling tadah terhadap aku, kawan mereka, dan memlilih untuk menjadi tali barut si Rambut Tercacak. Boleh dikatakan setiap hari ada saja khabar berkenaan lelaki itu keluar dari mulut keduanya. Apabila aku menunjukkan riak tidak suka mereka akan berkata,
“Ops sorry…” tak pun…
“Yalah, aku tahu kau tak suka…” dan ungkapan yang ini paling aku menyampah…
“Tapi dia baik, D. Kau fikir-fikirkanlah dan selamat beramal…”
Akibatnya kedua mereka aku halau keluar dari bilik. Aduhai, belum surutkah rajuk di hati?
Bersambung di sini....
0 Comments:
Subscribe to:
Post Comments (Atom)