Saturday, May 5, 2012

Biarkan Jatuh Cinta (Cerpen) Bhgn 12

Aku terpempan tidak membalas. Semerta wajah si Rambut Tercacak yang sedang tersenyum terpamer di ruang pandangan. Aku mendiamkan diri seketika. Kc mencuit bahu.

“Ajaklah dia jumpa.”

“Hish…taknaklah. Malu…”

“Habis tu macam mana dengan rancangan kita?” Cidot memandang dengan wajah serius. Aku diam berpeluk tubuh. Tanpa menunggu lama KC menarik laptop ke arahnya dan mengambil tempat aku membalas setiap jawapan MrLeft.

‘Kita jumpa, nak?’

Aku memandang KC dan Cidot yang gembira mengambil alih tugas ku. Tiba-tiba muncul perasaan bersalah terhadap MrLeft. Bagaimana sekiranya mereka berdua orang yang berbeza? Ah, tentu malu jika diketahui.

‘Hm…?’

‘Dah lama kita kawan tapi tak pernah jumpa.’

‘Serius? Tak rasa menyesal?’

‘Kenapa nak menyesal pula?’

‘Sebab saya tak handsome.’

‘Saya pun tak cantik.’

Kedua Cidot dan KC menjeling ke arah aku yang duduk memerhati keduanya melayani karenah MrLeft sebelum tersenyum.

‘Ok. 10 pagi depan Tasik G3.’

Serentak aku, Cidot dan KC berpandangan. Bagaimana dia tahu kawasan university tempat kami belajar?

‘Awak budak UTHM?’

Cidot menaip. Jawapan yang dinanti mendebarkan dada.

‘Yup!’

Aku telan liur. Dia menyambung lagi.

‘Sabtu ni, ok?’

Cidot memberikan persetujuan bagi pihak aku. Aku memandang keduanya meminta simpati.

“Rilekslah. Langkah pertama dah berjalan lancar. Kita ke stage seterusnya…” Cidot tertawa jahat. Lagaknya umpama ahli sihir yang sedang merancang rencana untuk menghapuskan dunia. Aku mengeluh perlahan.



Bersambung....

Friday, May 4, 2012

Biarkan Jatuh Cinta (Cerpen) Bhgn 11

Malam itu KC dan Cidot sanggup menggadaikan masa tidur masing-masing untuk menemani aku mengulankaji pelajaran. Sebenarnya sedang menunggu sapaan YM dari MrLeft.

MrLeft? Kenapa pilih nama tu? Soalan yang pernah aku ajukan kepada dia di awal perkenalan dulu. Jawapannnya mudah, hanya kerana tiada siapa yang akan mencari MrLeft dan lebih suka mencari MrRight mereka. Aku tergelak dengan jawapan tersebut.

“Hah, tu senyum sorang-sorang ingat kat siapa?” usik Cidot.

“MrLeft or si Rambut Tercacak?” giliran KC pula.

Aku menjeling geram. Mereka berdua tak sudah-sudah mengusik. Mula-mula aku buat tidak kisah tapi lama-kelamaan timbul rasa takut pula. Takut menjadi kenyataan.

Cidot dan KC tergelak melihat perubahan wajah ku. Tanpa mempedulikan keduanya aku teruskan kerja. Tiada harapan yang aku sandarkan terhadap kemunculan MrLeft pada mala mini kerana aku sedar dia jarang bertapa di alam siber. Kemungkinan sibuk dengan kehidupan sebagai pelajar. Ketika termenung itulah dia muncul mengejutkan aku.

‘Hai miss specky!’

Aku terpana. Miss Specky? Bagaimana dia boleh tahu tentang sifat fizik ku sedangkan kami belum pernah bersua muka?

‘Miss specky?’

Aku bertanya dan tentunya mengharap jawapan sebenar. Kedua Cidot dan KC mengapit di kira dan kanan. Keduanya pantas bertanya sama ada aku pernah tunjukkan gambar sendiri kepada MrLeft. 

Aku menggeleng laju. Bukan sikap aku untuk mendedahkan identiti sendiri kepada orang yang tidak dikenali.

‘Yalah, awak kan pakai speck. Tu sebab panggil miss specky.’

‘Macam mana awak tahu?’

‘Rahsia’

‘:p’

‘Jangan marah nanti kena jual. Saya juga yang susah.’

Bersambunglah....

Wednesday, May 2, 2012

Biarkan Jatuh Cinta (Cerpen) Bhgn 10

Eksperimen? Cukuplah semasa di tahun satu. Waktu itu usia belum matang. Maklumlah budak lepas sekolah melangkah ke university. Perangai gila-gila belum sempat dibuang. 

Tapi ini sudah di tahun dua. Semester depan naik ke tahun tiga. Cukup matang usianya. Mustahil untuk aku ulangi semula kenakalan lalu. Cukup-cukuplah tu…

“Ala D…macam mana kita nak tau kalau kita tak buat eksperimen, kan?”

Aku menggeleng laju. Menolak mentah-mentah cadangan tersebut. Pasti ada cara lain. Ya, aku pasti.

KC menyertai persidangan tidak lama kemudian. Mulutnya tidak berhenti bersuara menyetakan ketidakpuasan hati terhadap penilaian pensyarah. Pensyarah sentiasa mahukan kesempurnaan bagi projek pelajar.

Bagi aku perkara tersebut tidak salah kerana sedikit sebanyak ia melatih pelajar untuk memberikan hasil yang terbaik bagi tugasan mereka. Bukan main hentam kromo saja.

Apabila angin barat daya yang dibawa KC mulai surut barulah Cidot membentangkan proposal yang diberi kepada aku. Serta-merta raut wajah suram KC bertukar ceria.

“Bila lagi nak buat kerja gila kalau bukan sekarang, D,” tutur KC. Dia menyokong cadangan Cidot. Bibirnya mengulum senyum. Aku mencebik. Dasar budak nakal. Akhirnya aku mengalah jua.

Eksperimen diketuai oleh Cidot. Bahan eksperimen aku, KC dan MrLeft yang belum diketahui identitinya. Cidot membentangkan rancangan. Aku menggeleng lagi manakala KC tersenyum panjang. Entah apalah yang agaknya yang dibayangkan.


Bersambung....

Tuesday, May 1, 2012

Biarkan Jatuh Cinta (Cerpen) Bhgn 9

Buku yang terbentang hanya menjadi perhiasan meja. Aku kelihatan seperti sedang membaca tetapi realitinya tidak. Fikiran jauh melayang merentasi benua. Persoalan malam semalam menyinggah di benak.

“Hoi mengelamun!” kejut Cidot. Tersengih-sengih dia sebelum melabuhkan punggung di hadapan. Aku mencari-cari kalibat KC.

“KC mana?”

“Jumpa Dr Rudy. Aku dengar Dr tak puas hati dengan laporan group diorang. So, as the leader KC kena datang mengadap,” jawab Cidot sambil sibuk mengeluarkan barang-barang dari dalam beg.

“Kau pula kenapa? Dari jauh aku boleh tengok kau termenung jauh. Ada prob?”

Aku menjungkit bahu. Ia bukan masalah. Sekadar cetusan perasaan yang hadir secara tiba-tiba. Kaca mata aku tanggalkan lalu kelopak mata sengaja aku kelip-kelipkan.

“Entahlah. Mungkin terlalu letih agaknya,” jawab ku mudah. Cidot menggeleng laju.

“Ni mesti ada something ni. Ceritalah mana tahu aku boleh tolong…” pujuknya. Perlahan aku hembuskan nafas berat.

“Ingat lagi tak MrLeft?” soal ku.

Cidot memandang aku dengan kening berkerut. Pastinya otak sedang bekerja keras mengingati sebaris nama yang aku sebutkan tadi.

“MrLeft? Maksud kau kawan siber kau tu?”

Aku angguk. Aku tidak mempunyai ramai kawan siber yang rapat. Boleh dikira dengan jari. Selebihnya kawan-kawan rapat semasa di sekolah menengah dulu.

“Kenapa dengan dia? Dia ajak jumpa?” duga Cidot. Anak matanya membulat menagih jawapan. Aku membalas dengan gelengan. Uniknya MrLeft, dia tak pernah sekali pun mengajak aku untuk bertemu. Tidak seperti rakan-rakan YM yang aku kenali. Semua ingin bertemu dengan alasan agar hubungan lebih erat.

Aku terdiam sejenak. Menimbang jawapan yang hendak diberi. Kalau Cidot tahu apa yang sedang bermain di fikiran ketika ini mesti dia tergelak guling-guling tak ingat dunia. Tapi hendak dipendam takut pula. Akhirnya aku mengalah jua pada perasaan yang perasantan ini.

“Aku..aku..aku rasa dia si Rambut Tercacaklah…!”

“Hah?! Apa?!” pantas tawanya terburai. Dah agak dah. Ini yang buat aku malas hendak cerita perihal hati dan perasaan dengan Cidot. Dia gelak dulu sebelum berikan solution. Hish, sabar ajelah…

“Okay…apa yang buat kau rasa mereka tu orang yang sama? Any hint?” soal Cidot apabila tawa mereda.

“Ayat diorang sama!” jawab ku pendek penuh yakin.

“Ala kebetulan aje kot…,” tolak Cidot. Aku jungkit bahu. Lama aku dan Cidot berdiam melayan perasaan masing-masing. Aku mengerling riak wajah Cidot yang berkerut-kerut. Entah apa yang sedang difikirkan. Apakah ia sama dengan apa yang sedang aku fikirkan? Tiba-tiba Cidot mengetuk meje dengan kuat membuat jantung berhenti seketika.

“Hah, apa kata kita buat eksperimen?!” jeritnya riang. Aku menggeleng tidak percaya dengan cadangan tersebut. Cidot melancarkan perang pujukan.


Bersambung..again...

Saturday, April 28, 2012

Biarkan Jatuh Cinta (Cerpen) Bhgn 8

Laju gerak jemari menari di atas keyboard. Sesekali Nescafe dihirup bagi menghilangkan rasa mengantuk yang membungkus. Angin malam menerobos masuk melalui tingkap yang sengaja dibuka. 

Sesekali ekor mata menjeling jam di skrin komputer. Hampir tengah malam. Teman-teman yang lain sudah lena diulit mimpi selepas penat berjoging petang tadi. Aku pula sendirian melayani assignment yang masih belum siap.

“Esok kan hari sabtu. Esok ajelah kau buat assignment tu…” kata-kata Cidot menyinggah di pendengaran.

Terpisat-pisat dia melihat aku sendirian di ruang tamu. Aku tertawa kecil sebagai balasan dan Cidot terus berlalu masuk ke dalam bilik. Kemungkinan besar hendak menyambung lenanya.

Aku bukan jenis manusia yang suka menangguhkan kerja. Malam ini aku sudah nekad hendak menyiapkan tugasan yang diberi. Esok bolehlah aku tidur lena tanpa kerisauan. Tiba-tiba yahoo messanger menyala memberi isyarat. Seseorang menyapa.

‘Hai’ mesej dihantar.

MrLeft?  MrLeft adalah teman siber yang aku kenali sebelum aku melangkah masuk ke universiti. Mengenalinya tanpa pernah bersua wajah. Kini usia perkenalan mencecah tiga tahun.

‘Hai juga’ aku membalas laju.

‘Tak tidur lagi?’

‘Hm…tengah buat assignment. Awak?’

‘Samalah…’

Eh, kening berkerut. Aku tak pernah tahu MrLeft menyambung pelajaran. Ah, mungkin aku terlupa agaknya.

‘Awak study kat mana ek?’

‘Kenapa nak tahu?’

‘Saja. Tak salah kan?’

‘Kalau saya taknak beritahu?’Aku mencebik. Takkan perkara seperti itu pun hendak dirahsiakan?

‘Tak mengapa. Segalanya di tangan anda…;)’
‘;)’

Aku mematikan perbualan. Sengaja berbuat demikian agar dia tahu aku merajuk dan dengan harapan dia akan memujuk. Namun lama aku menunggu tiada kata terluah. Status YM masih online tapi… 

Pantas aku menukar status daripada online kepada invisible. Biar dia tahu aku marah…hahaha. Aku suka merajuk dengan MrLeft kerana tahu dia akan memujuk. Walau hanya taipan ayat di skrin laptop namun cukup membuat hati bahagia. Pelik.

Aku dengan dia tak pernah bertemu tapi kenapa selalu merasa seolah dia berada dekat? Mungkinkah dia sebenarnya memang dekat? Ayat-ayat pujukannya mengingatkan aku pada…si Rambut Tercacak? Oh tidak…

Kaca mata aku tanggalkan dan letak di tepi. Aku terlalu letih agaknya sehingga berfikir yang bukan-bukan. Mustahil mereka adalah orang yang sama. Tak mungkinlah…


Bersambung dahhh....

Thursday, April 26, 2012

Biarkan Jatuh Cinta (Cerpen) Bhgn 7

KC tak henti-henti mengekeh ketawa mendengar cerita tersebut. Apa lagi aku terus menarik muncung panjang. 

Ingatkan boleh meraih simpati tetapi perkara sebaliknya yang berlaku. Tambah lagi apabila Cidot memberitahu sesuatu.

“Aku rasa dia syok kat kau lah, D,” duga Cidot sambil terangguk-angguk. Wajahnya tampak serius. KC turut mengiakan. Aku memandang keduanya.

“Eh, takkanlah. Jangan merepeklah. Aku dengan dia? Oh no…!” balas ku padahal dalam hati wujud satu macam perasaan yang aneh.

“Dia handsome apa…”

“Cute pun ada…”

“Sekali pandang bisa cair, bu,” tutur KC dalam slang Indonesia yang dibuat-buat. Oh, tolonglah kamu berdua. Kemudian kami ketawa serentak.

“Aku tengok rambut dia dah tak tercacak pun…hehehe,” sambung Cidot. Aku gelak kecil. Ya dia bukan lagi si Rambut Tercacak. Rambutnya sudah dipotong pendek ala askar. Aku tersenyum sendiri.

Wednesday, April 25, 2012

Biarkan Jatuh Cinta (Cerpen) Bhgn 6

Si Rambut Tercacak bersama skuad PALAPESnya. Semua berpakaian putih berseluar hijau dengan aksesori tentera. Kelihatan segak walau berkulit gelap. Sejenak aku menjadi si pemerhati. Handsome juga si Rambut Tercacak ni. Tengok tu senyuman dia pun manis.

Eh, apa yang aku merepek ni? Come on, D. Wake up! Tapi mata terus memerhati. Sedang aku memerhati dengan ekor mata tiba-tiba dia berpaling dan memandang ke arah aku. Gulp…ops…alamak…!

Pantas aku menggamit KC dan Cidot meninggalkan tempat tersebut. Keduanya kelihatan kebingungan tapi aku tidak peduli. Dapat aku rasakan wajah merona merah. Malu…

* * * * *

Selesai sesi temubual ketua kampung membawa kumpulan yang aku ketuai melawat sekitar kampung. Inilah perkara yang aku sukai jika diberi kerja lapangan. Dapat berjalan menghirup udara segar kampung. Keramahan penduduk kampung membuat hati jadi gembira. Aku senyum sendiri.

“Orang kata kalau senyum sendiri tu maknanya teringat pada seseorang. Awak ingat saya ke?” bisik seseorang di telinga. Aku menjeling tajam si Rambut Tercacak. Dia tergelak.

“Ops sorry. Saya terlupa saya tak dibenarkan senyum pada awak, kan?” tuturnya lagi. Aku cerlungkan mata. Kurang asam punya Rambut Tercacak. Aku menarik muka masam.

“Jangan marah nanti kena jual. Saya juga yang susah…,” usiknya lagi. Aku tak membalas. Hanya membiar dia dengan butir bicaranya. Malas hendak melayan kerana takut semakin panjang ayat loyar buruknya nanti. Khairul Hazim tersenyum panjang.

Sejak ditakdirkan berada dalam satu kumpulan aku terpaksa menepis segala perasaan malu kerana peristiwa lalu. Yalah, jika difikirkan semula aku telah mengambil tindakan kurang matang dengan membuat serangan terhadapnya. Terlajak perahu boleh diundur…terlajak perbuatan? Menyesal pun tak guna…

Tapi orang itu asyik mengganggu ketika bertemu. Tidak kira di dalam group atau ketika aku duduk berseorangan. Ada saja cara hendak mengumpan aku berbual atau bertegang urat dengannya. Apa dia nak sebenarnya?

“Okay, jom ambil gambar ramai-ramai. Nanti boleh buat tayangan time presentation…”

Aku berhenti melangkah. Cidot menggamit mengisyaratkan agar aku berdiri di sebelahnya. Semua berkumpul dengan pelbagai aksi.

“Say three…”

Serentak senyuman diukir. Namun belum sempat kamera ditekan seseorang mencuit aku di bahu. Aku berpaling memandang dan…’klik’. Gambar itu dirakam dalam pelbagai gaya manusia. Paling haru aku dan si Rambut Tercacak menjadi bahan cerita apabila kelihatannya kami berdua sedang saling berpandangan. Ah…!


sekali lagik..bersambung...

 

Saat bulan & bintang tersenyum Copyright © 2010 Designed by RindaAuthor MissDielaSunan :)