Wednesday, October 9, 2013

Duhai Bidadari ~ Part 2


Angin petang bertiup lembut memukul tubuh tua yang bersantaian di beranda rumah separuh kayu. Hajah Aminah mengintai ke luar sebelum menatang dulang berisi seteko kopi dan dua cawan kosong serta sepiring kuih goreng pisang ke sana. Kopi dihidangkan di atas meja di depan suaminya yang sedang leka membaca surat khabar.

Imam Rahman menjeling sekilas sebelum melipat akhbar dan diletakkan di atas meja yang sama. Suara keriangan kanak-kanak yang bermain di bawah rumah mematikan kesunyian petang itu.

“Hm...kenapa saya tengok muka awak semacam saja? Ada masalah?” soalnya sebelum menghirup air kopi.
Hajah Aminah tidak lekas menjawab. Keluhan nafas perlahan dihembus. Seolah melepaskan segumpal bebanan yang menyesakkan dada. Seraut wajah manis anak tunggal mereka, Hazlia, menari-nari di tubir mata.

“Saya bimbanglah, Bang Aji,” getusnya. Imam Rahman mengangkat kening.

“Bimbang pasal apa?”

“Pasal Hazlia.”

“Hm...kenapa dengan dia? Tak sihat? Pagi tadi saya tengok elok saja.”

“Saya bimbanglah...risau pasal anak kita tu. Umurnya sudah masuk 25 tahun tapi tak kahwin lagi. Nanti orang kampung cakap anak kita tak laku!” beritahu Hajah Aminah. Fikirannya terganggu dengan masalah tersebut.

“Awak ni bimbang...risau pasal anak kita yang tak kahwin lagi atau pasal cakap-cakap orang?”

“Eh, mestilah pasal anak kita. Abang Aji tak risaukah?”

“Risau juga tapi nak buat macam mana...dah tuan badan tak hendak. Takkan kita nak memaksa pula kan...”
Hajah Aminah menjeling. Betul juga kata suaminya. 

Hajah Aminah mendengus perlahan. Pening dengan karenah anak tunggalnya. Benarlah kata pepatah, menjaga lembu sekandang lebih mudah daripada menjaga anak dara nan seorang. Bukan tidak ada pinangan dan risikan datang menjengah untuk Hazlia. Ada...tetapi semua ditolak Hazlia dengan pelbagai alasan. Bukan jodohlah, tidak sekufulah, orang jauhlah dan macam-macam alasan lagi. Mereka yang datang itu bukan orang-orang biasa. Berpangkat tinggi dan berilmu. Bila diberitahu tentang latar belakang si lelaki dengan selamba Hazlia akan berkata,

“Itu bukan nak merisik tapi nak menunjuk-nunjuk hartanya.” Atau pun,

“Berilmu jika tidak dimanfaatkan ilmunya sama juga dengan orang yang tidak berilmu.”

Gadis manis lulusan Mesir itu bijak menangkis hujah. Memperdebat isu yang dibangkitkan. Akhirnya kedua orang tuanya akur. Hazlia mempunyai pilihan yang lain. Pemuda yang bagaimana rahsia masih disimpan kemas oleh Hazlia.

“Saya berkenanlah pada anak bujang Hajah Rosnah tu. Baik budi pekertinya. Kerja pun boleh tahan, gaji besar...dari universiti juga. Padan dengan anak kita,” ujar Hajah Aminah setelah diam seketika. Senyuman lebar terukir di bibir. Angannya hendak berbesan dengan keluarga terhormat agar dipandang tinggi oleh masyarakat setempat.

“Duit bukan segalanya walaupun segalanya perlukan duit. Bukan dibawa ke kubur harta tu semua. Ilmu kalau tidak diamalkan pun serupa juga dengan tak berilmu. Jadilah ia ilmu tak bermanfaat!” tegas Imam Rahman memperbetulkan tanggapan isterinya. 

Kemudian dia menyambung lagi. “Saya tidak pernah pun nampak anak-anak lelaki Hajah Rosnah di masjid untuk sembahyang jemaah. Kenapa budi pekertinya ditunjuk depan manusia tetapi tidak di depan Allah?” soal Imam Rahman. Hajah Aminah terkedu menelan liur. Malu apabila ditegur oleh suaminya.

“Habis tu abang aji nak bermenantukan budak macam anak Maimunah tu...Kamal? Sekolah setakat SPM, kontraktor biasa...gaji rendah pula tu,” ejek Hajah Aminah dengan cebikan.

“Sekurang-kurangnya setiap kali jemaah subuh, maghrib dan isyak di masjid saya jumpa Kamal bukan bakal menantu pilihan awak. Solat lima waktu pun tak pernah nampak apalagi solat jumaat. Hm...payah.” Giliran Imam Rahman yang mengejek dan ia kena tepat ke wajah isterinya. 

Merah padam muka Hajah Aminah mendengar kata-kata suaminya. Imam Rahman betul. Harta segunung tidak dipandang oleh Allah SWT kerana Dialah yang Maha Kaya, pemilik seluruh isi langit dan bumi. Sijil bergulung-gulung juga bukan ukuran-Nya kerana Dia Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui. Hanya amal ibadah yang ikhlas dituntut. Sesungguhnya solat, ibadah, hidup dan mati hanya kerana Allah Taala. Hajah Aminah insaf.

 

Saat bulan & bintang tersenyum Copyright © 2010 Designed by RindaAuthor MissDielaSunan :)